JOHOR BAHRU: Satu insiden tembakan dipercayai berlaku melibatkan seorang lelaki di Jalan Gertak Merah, berhampiran pintu masuk utama Zoo Johor, di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian berkenaan.
“Saya sahkan berlaku tembakan melibatkan anggota polis dan mangsa orang awam. Orang awam berkenaan dilaporkan cedera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini.
Beliau turut memaklumkan satu sidang akhbar berhubung kejadian itu akan dilakukan pihaknya, esok.
Sementara itu, seorang pengunjung Zoo Johor yang enggan dikenali berkata, insiden itu dipercayai berlaku pada pukul 2 petang.









