TELUK INTAN – Polis tidak menolak elemen berkaitan kumpulan kongsi gelap yang menjadi punca kes seorang ahli perniagaan ditembak di sebuah stesen minyak di Bidor pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya akan mengkaji setiap keterangan 10 saksi termasuk mangsa.
“Kita akan menjurus pada beberapa perkara lah bagi meneliti motif kes ini atau pun kejadian ini berlaku. Belum ada penangkapan. Kita tak menolak kemungkinan (kaitan kes tembak dengan kumpulan kongsi gelap) dan akan membuat siasatan sebelum membuat kesimpulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki cedera di bahu kiri akibat terkena satu das tembakan ketika kenderaannya berhenti di sebuah stesen untuk mengisi minyak.








