NEW YORK: Dua orang maut, manakala 35 lagi cedera dalam insiden tembakan pada satu pesta kejiranan di Georgia, Amerika Syarikat (AS) awal Ahad, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

Insiden berlaku kira-kira jam 1.25 pagi (0525 GMT) di bandar Vienna, selatan Georgia, menurut Biro Siasatan Georgia dalam satu kenyataan.

Sherif Daerah, Craig Peavy, berkata dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital di sekitar wilayah itu.

Beliau berkata, lebih 1,000 orang menghadiri pesta kejiranan berkenaan ketika sekurang-kurangnya 50 das tembakan dilepaskan.

Katanya, kebanyakan mangsa cedera akibat terkena tembakan, manakala yang lain dilanggar kenderaan ketika orang ramai melarikan diri dari lokasi kejadian.