am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Seorang anggota polis maut selepas kenderaan pasukan yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kampung Lot M, di sini, hari ini, selepas selesai mengiringi tahanan.

Mangsa, Konstabel Mathew Zulian Backly, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa dan dua lagi anggota dikatakan dalam perjalanan pulang ke IPD Kinabatangan selepas menyelesaikan tugas mengiring tahanan dari Penjara Sandakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden Janeve Sindih, berkata kenderaan pasukan dinaiki terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain dari arah hadapan.