KINABATANGAN: Seorang anggota polis maut apabila kenderaan pasukan dinaikinya terbabit kemalangan di Kampung Lot M, di sini, hari ini, selepas selesai mengiringi tahanan.

Konstabel Mathew Zulian Backly, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.

Insiden kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika mangsa bersama dua lagi anggota dikatakan dalam perjalanan pulang ke IPD Kinabatangan selepas menyelesaikan tugas mengiring tahanan dari Penjara Sandakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Janeve Sindih, berkata kenderaan pasukan berkenaan dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain dari arah hadapan.