PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) perlu merangkumi sektor awam dan swasta bagi memastikan reformasi sistem kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya membabitkan perubahan struktur pentadbiran.

Langkah itu penting bagi menangani isu kekurangan dan penghijrahan tenaga kerja kesihatan selain memastikan ke­perluan semua profesion dalam sektor berkenaan diberikan perhatian sewajarnya.

Presiden Persatuan Farmasi, Prof. Amrahi Buang berkata, sistem kesihatan negara tidak seharusnya terus beroperasi secara berasingan antara kedua-dua sektor kerana pendekatan itu gagal menangani masalah tenaga kerja sedia ada.

Katanya, kerajaan perlu memperjelas struktur, skop dan punca kuasa SPK bagi memastikan suruhanjaya itu benar-benar berupaya menangani cabaran sektor kesihatan.