PETALING JAYA: Kegagalan memanfaatkan peluang dan beberapa kesilapan ketika bertahan akhirnya memakan diri Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 0-2 kepada wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Piala Dunia Jeonju, kelmarin.

Kekalahan itu bukan sahaja meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam saingan berkenaan musim ini, malah menjadi peringatan bahawa kesilapan sekecil mana pun mampu mengundang padah apabila berdepan pasukan berkualiti di pentas Asia.

Pengendali JDT, Xisco Munoz tidak berselindung mengakui anak buahnya gagal mempamerkan persembahan terbaik, terutama ketika berada di kawasan serangan sehingga beberapa peluang yang terhidang tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan.