SINGAPURA: Singapura bercadang memperketat undang-undang antipencemaran jerebu rentas sempadan dengan memperkenalkan kuasa penahanan, meningkatkan kadar denda serta mengenakan sekatan terhadap syarikat yang terbabit dalam pencemaran udara akibat kebakaran hutan.
Cadangan pindaan undang-undang itu dibentangkan di Parlimen pada Rabu susulan pencemaran udara akibat kebakaran hutan di Indonesia yang berlarutan selama beberapa minggu sehingga mencetuskan kemarahan rakyat Singapura dan desakan supaya tindakan lebih tegas diambil.
Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, Grace Fu berkata, langkah itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa mendapatkan dan mengesahkan maklumat, menjejaki hubungan korporat yang kompleks serta mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang.










