Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Alam Melayu mempunyai tradisi keilmuan yang panjang. Antara aliran yang memainkan peranan besar dalam memelihara, menghuraikan dan mempertahankan akidah ini ialah aliran Ash'ari yang diasaskan oleh Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari.

Namun, penting untuk difahami bahawa kemunculan aliran ini bukan bermaksud lahirnya suatu akidah baharu yang tidak pernah dikenali oleh generasi terdahulu. Sebaliknya, ia kesinambungan daripada pegangan Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama salaf yang kemudian dihuraikan secara lebih sistematik.

Hakikatnya, prinsip akidah yang dibahaskan oleh ulama Ash'ari sudah mempunyai asas dalam karya dan perbahasan ulama sebelum kelahiran Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari. Antaranya ialah Imam Abu Hanifah yang hidup pada abad kedua Hijrah. Dalam karya yang dinisbahkan kepada beliau seperti al-Fiqh al-Akbar, terdapat perbahasan mengenai ketuhanan, sifat-sifat Allah SWT, keesaan-Nya serta penyucian Allah daripada segala kekurangan.