Seorang remaja sepatutnya sibuk memikirkan peperiksaan, persahabatan, dan masa depan. Namun, apabila usia muda dikaitkan dengan perbuatan membunuh, kita berdepan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar jenayah.

Ada nyawa terkorban, keluarga yang kehilangan insan tersayang dan sebuah masyarakat yang tertanya-tanya, 'Bagaimana seorang anak muda boleh sampai ke tahap meragut nyawa manusia lain? Di mana silapnya? Apabila remaja menjadi pelaku pembunuhan, kita bukan sahaja perlu menuntut keadilan untuk mangsa, tetapi juga berani meneliti faktor yang membentuk tingkah laku ganas itu sebelum terlambat.

Zaman remaja fasa perkembangan melibatkan perubahan fizikal, emosi, kognitif dan sosial. Keupayaan mengawal impuls, mempertimbangkan akibat jangka panjang dan membuat keputusan ketika berhadapan tekanan masih berkembang. Dalam situasi konflik, penghinaan atau provokasi, sesetengah remaja mungkin bertindak terburu-buru tanpa menilai akibat perbuatannya. Namun, ketidakmatangan perkembangan bukan tiket untuk melakukan keganasan. Kebanyakan remaja tidak melakukan jenayah ganas dan pembunuhan tidak boleh dijelaskan hanya melalui faktor usia.