JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan dokumentasi pendidikan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka bagi pencalonannya pada Pilihan Raya 2024 tidak lengkap.
Namun, keadaan itu tidak menyebabkan beliau hilang kelayakan memegang jawatan dan isu kelayakannya diserahkan kepada institusi lain.
Pemohon dalam kes terhadap Gibran, anak kepada bekas Presiden Joko Widodo, berhujah kelayakan sekolah menengah atas yang diperolehnya di luar negara tidak memenuhi syarat undang-undang bagi calon naib presiden dan diterima secara tidak wajar oleh pegawai pilihan raya.
Kesemua sembilan hakim menolak petisyen berkenaan, kata Ketua Hakim, Suhartoyo dalam keputusan yang dikeluarkan semalam.
Hakim Adies Kadir berkata, mahkamah tidak menggugurkan kelayakan Gibran kerana petisyen itu tidak lagi boleh dianggap sebagai pertikaian keputusan pilihan raya selepas beliau mengangkat sumpah sebagai naib presiden kepada Presiden Prabowo Subianto.









