surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Hakim Norliza Othman memutuskan bahawa pelantikan Ahmad Terrirudin memenuhi kehendak Seksyen 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), yang menetapkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh dilantik Perdana Menteri sebagai anggota JAC bagi tempoh dua tahun.
Dalam penghakimannya, Norliza berkata, peruntukan berkenaan jelas kerana hanya menetapkan dua syarat iaitu individu berkenaan mestilah hakim Mahkamah Persekutuan dan pelantikan dibuat oleh Perdana Menteri.








