Bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan pada November 2024.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Norliza Othman memutuskan Seksyen 5(1)(e) Akta SPK 2009 adalah jelas dan tidak samar.

“Seksyen 5(1)(e) adalah nyata. Ia menetapkan kategori: seorang hakim Mahkamah Persekutuan; dan pihak yang melantik: perdana menteri, dan terhenti di situ,” katanya.

Katanya, memandangkan dua syarat tersebut sudah dipenuhi, mahkamah tidak boleh menambah kriteria bukan berkanun seperti kekananan, tempoh perkhidmatan, serta kebebasan daripada dakwaan yang belum diselesaikan dalam peruntukan berkenaan, sedangkan tiada satu pun daripada syarat tersebut tertera dalam undang-undang itu.