mukhriz.husin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini dapat menyediakan peruntukan sewajarnya bagi memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu perlu mengambil kira keperluan negara, khususnya dalam memastikan ATM mempunyai keupayaan mencukupi untuk mempertahankan negara dan melindung kedaulatan.

"Saya percaya Perdana Menteri akan memberikan pertimbangan yang sebaik berdasarkan keperluan negara dan keperluan kita untuk mempertahankan negara serta melindungi kedaulatan.

"Kita juga perlu mengambil kira cabaran yang dihadapi dan keadaan geopolitik semasa," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Siber Siaga di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.