ROMPIN: Rata-rata pesawah di Jelapang Padi Paya Sepayang di sini, bertekad meninggalkan sawah selepas mendakwa mengalami kerugian besar apabila tanaman padi musnah diserang keladi agas, ulat batang, kutu beruang serta penyakit ‘misteri’ yang menyebabkan pokok bertukar kekuningan sebelum mati.

Seorang pesawah, Ghani Mohd. Ros, 61, berkata, keadaan itu menyebabkan kira-kira 65 peratus kawasan sawah padi tidak dapat dituai.

“Yang dapat dituai pun rugi kerana hasil yang sedikit, salah satu lot sawah saya yang baru tuai hanya dapat 1.4 tan metrik dengan potongan jualan sebanyak 55 peratus dan cuma dapat RM1,200 sedangkan kos penanaman bagi satu lot seluas tiga ekar (1.2 hektar) mencecah RM7,120.

“Bukan sahaja modal tidak dapat tetapi kami rugi dan tidak mampu lagi menanam padi pada musim depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly di Sawah Padi Sepayang di sini.