Istanbul: Selepas tiga tahun genosid Israel di Semenanjung Gaza, data Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kesan besar terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan daripada kematian, kecederaan dan kehilangan kepada peningkatan kadar keguguran, kelahiran tidak selamat serta kekurangan zat makanan, lapor Anadolu Ajansi.

Kejatuhan sistem kesihatan Gaza turut menyebabkan wanita hamil tidak mendapat rawatan perubatan, memaksa sebahagian daripada mereka bersalin di rumah atau di pusat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal manakala perubahan struktur keluarga menyebabkan puluhan ribu wanita terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga.

Data yang dikeluarkan Biro Perangkaan Pusat Palestin pada 18 Julai lalu menunjukkan 12,400 wanita tidak termasuk kanak-kanak perempuan, terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023.