am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Biasalah budak-budak, gurau saja."

Ayat itu mungkin kedengaran biasa apabila berlaku ejekan, penghinaan atau pemberian gelaran dalam kalangan pelajar, namun sikap menganggap perkara berkenaan sebagai gurauan boleh menjadi titik awal kepada budaya buli yang lebih serius.

Ahli Gerakan Gubal Akta Anti Buli (GAB), Shameer Haziq Shaharuddin berkata, masyarakat perlu menghentikan normalisasi budaya buli kerana perbuatan dianggap kecil pada awalnya berpotensi membawa kepada penderaan fizikal dan mental yang lebih buruk.

Beliau yang juga peguam berkata, buli bukan perkara baharu, namun perkembangan teknologi dan media sosial kini mewujudkan bentuk buli yang lebih kompleks termasuk buli siber serta penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).