GENEVA: Usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan ke dalam Gaza dengan melalui proses ditetapkan Israel, sentiasa dikekang 'penangguhan demi penangguhan', menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam yang menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap masalah 'kekurangan kronik' bekalan perubatan di wilayah itu.
Wakil WHO di wilayah Palestin itu, Reinhilde Van de Weerdt, berkata situasi kesihatan di Semenanjung Gaza 'kekal sangat teruk' dengan tiada sebuah pun hospital beroperasi dengan sepenuhnya.
"Bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza jelas tidak mencukupi, bahkan pastinya tidak memadai untuk membolehkan pengembangan dan pemulihan perkhidmatan kesihatan yang bermakna," katanya dari Baitulmaqdis kepada pemberita di Geneva.








