KUALA LUMPUR: Perancangan besar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membentuk hala tuju baharu bola sepak negara memerlukan sokongan kewangan kukuh.

Justeru badan induk itu berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini, dapat memberikan suntikan tambahan kepada pembangunan sukan nombor satu negara tersebut.

Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pengurusan bola sepak moden menuntut komitmen kewangan yang besar, bukan sahaja untuk mengendalikan pasukan kebangsaan, malah merangkumi pembangunan akar umbi, program pemain pelapis dan penyediaan platform kompetitif di semua peringkat.

Menurut beliau, FAM seperti badan sukan lain amat mengharapkan sokongan kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.