Ketua Polis Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin berkata belum ada ketetapan untuk mendakwa mana-mana suspek di mahkamah setakat ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kertas siasatan kes kematian pelajar 14 tahun di sebuah sekolah Kuala Pilah akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.

Ketua Polis Kuala Pilah, Muhamad Mustafah Hussin, berkata belum ada ketetapan untuk mendakwa mana-mana suspek di mahkamah setakat ini dan pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada AGC.

"Kes membabitkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di sebuah sekolah di Kuala Pilah bulan lalu, setakat ini belum ada keputusan tarikh untuk menuduh suspek," katanya menurut Berita Harian.

Menurut laporan, seorang pelajar Tingkatan Dua ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah pada 8 malam 25 Sept lalu dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah sebelum disahkan meninggal dunia.