JOHOR BAHRU: Semua 575 Sekolah Agama Kerajaan Johor, tiga Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor serta 239 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) berdaftar di negeri ini turut diarah tutup dua hari susulan jerebu bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah penutupan itu selaras kenyataan dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berhubung penutupan sekolah di seluruh Johor akibat kemerosotan kualiti udara.

Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua warga sekolah agama serta institusi pendidikan Islam terbabit.