KUALA LUMPUR: Kumpulan rock alternatif, Disagree yang membuat kemunculan semula selepas lebih sedekad berehat mengakui perlu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri muzik tanah air yang semakin didominasi platform digital.

Vokalis Disagree, Zahid berkata, perubahan teknologi dan cara peminat menikmati muzik masa kini menuntut mereka lebih aktif menerusi pelbagai platform digital termasuk media sosial.

Menurutnya, situasi hari ini jauh berbeza berbanding ketika mereka mula aktif apabila persediaan untuk mengadakan persembahan lebih ringkas dan tidak memerlukan teknologi serta pasukan besar.

"Ketika kami masih muda, banyak perkara dibuat secara mudah. Semuanya seperti pasang dan terus main. Ketika itu belum ada kandungan media sosial yang perlu difikirkan.