PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform e-dagang serta kementerian dan agensi berkaitan hari ini bagi menyelaras langkah memperkukuh perlindungan pengguna dan keselamatan ekosistem e-dagang negara.
Sesi itu diadakan susulan kebimbangan awam berhubung aspek keselamatan pengguna serta pematuhan undang-undang dalam ekosistem e-dagang.
Ia juga selaras penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengenai keperluan memperkukuh kawal selia menerusi kerjasama antara kementerian, agensi penguatkuasaan dan penyedia platform.
“Selain aspek keselamatan dan perlindungan pengguna, perbincangan turut memberi tumpuan kepada keperluan mewujudkan persekitaran perniagaan yang seimbang antara perniagaan dalam talian dengan premis fizikal,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.










