KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan dua inisiatif baharu bagi menyokong reformasi Pembiayaan Berteraskan Harta Intelek negara.Inisiatif berkenaan dilancarkan sempena Persidangan dan Pameran Kebangsaan Pengkomersialan Harta Intelek (IP CONFEX) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang antara lain meletakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara.Menurutnya, inisiatif pertama ialah Dana Pembiayaan Penilaian Harta Intelek dengan peruntukan perintis sebanyak RM1 juta.Dana itu, jelasnya, disediakan bagi membantu menampung kos perkhidmatan penilaian harta intelek secara profesional untuk syarikat tempatan terpilih."Melalui penilaian yang sistematik dan diiktiraf, aset tidak ketara milik syarikat melibatkan harta intelek dapat diberikan nilai secara rasmi bagi menyokong urusan pembiayaan perbankan, pelesenan dan pelaburan."Langkah itu penting khususnya kepada syarikat pemula (start-up) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan teknologi yang memiliki aset harta intelek bernilai, tetapi berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan perbankan kerana tidak mempunyai cagaran fizikal tradisional," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Sementara itu, inisiatif kedua ialah pengenalan Modul Penilaian Harta Intelek yang pertama di Malaysia.Jelasnya, modul berkenaan akan menjadi asas kepada pembentukan piawaian penilaian yang lebih seragam, selain menyokong usaha melatih tenaga pakar penilai harta intelek tempatan yang bertauliah dan dikawal selia secara berstruktur."Kedua-dua inisiatif itu saling melengkapi dalam membangunkan ekosistem Pembiayaan Berteraskan Harta Intelek yang lebih tersusun."Dana pembiayaan akan membantu syarikat mendapatkan perkhidmatan penilaian, manakala modul yang diperkenalkan akan memperkukuh kapasiti, kepakaran dan piawaian dalam melaksanakan proses penilaian berkenaan," katanya.Armizan berkata, langkah itu juga bertepatan dengan pelan transformasi strategik lima tahun (2025-2030) melalui MyIPO NEXTGEN yang memfokuskan transisi harta intelek daripada sekadar instrumen perlindungan undang-undang kepada antara aset strategik memacu ekonomi negara."Usaha itu diharapkan dapat merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi syarikat pemula dan PKS berasaskan teknologi."Ia juga membantu memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan tempatan tidak hanya terhenti di makmal, sebaliknya dapat dinilai, dikomersialkan dan dimanfaatkan untuk menjana pertumbuhan ekonomi," katanya.IP CONFEX 2026 julung kalinya dianjurkan pada 6 hingga 7 Oktober itu menghimpunkan lebih 500 peserta merangkumi pemain industri, institusi kewangan, penyelidik, inovator serta agensi kerajaan.Program itu turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyIPO dengan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), Universiti Multimedia (MMU), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) serta Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM).Kerjasama strategik itu akan memperkukuh jaringan MyIPO dengan organisasi antarabangsa dan tempatan, institusi pendidikan, agensi pembangunan perdagangan dan keusahawanan serta pemain industri.Kerjasama berkenaan juga menyokong perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti dan usaha memperluas pengkomersialan harta intelek tempatan.Menurut Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), nilai aset tak ketara dunia melonjak 13 kali ganda dalam tempoh 25 tahun, mencecah paras tertinggi AS$80 trilion.Malah, lebih 90 peratus daripada nilai syarikat terkemuka dalam indeks S&P 500 kini disokong oleh kekuatan aset tak ketara termasuk harta intelek.