KUANTAN: Tujuh suspek ditahan berhubung kes rompakan barang kemas RM1.7 juta di SkyAvenue, dekat Genting Highlands bulan lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan dalang rompakan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, semua suspek termasuk seorang wanita, dipercayai boleh memberikan maklumat kepada polis bagi membantu mengesan dalang utama rompakan itu.
"Polis menahan semua suspek antara 20 Ogos hingga semalam di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk seorang warga China yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
"Suspek termasuk tiga warga asing. Mereka berusia antara 25 hingga 64 tahun," katanya, hari ini.
Azry berkata, enam suspek termasuk seorang wanita dibebaskan dengan jaminan polis, manakala warga China yang ditahan di KLIA direman sehingga 10 Oktober ini.









