Klang: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menetapkan 26 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan seorang sukarelawan operasi tangkap anjing liar dan suri rumah yang masing-masing menghadapi tuduhan menjerut serta menarik seekor anjing pada Ogos lalu.

Hakim Siti Nur Shafrida Hashim menetapkan tarikh itu selepas Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Mohd Sharif Sabran memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen tambahan kes iaitu laporan daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) kepada pihak pembelaan yang mewakili tertuduh Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S Roghini Devi, 42.

Pada 20 Ogos lalu, Muhammad Shah Idham Nor Haikal mengaku tidak bersalah atas tuduhan secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali jerut sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan itu.