MELAKA: Seorang penganggur dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan pilihan membunuh rakan lelakinya di Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 2020.
Hakim Datuk D Suria Kumar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, AS Sitambarasan, 34, mengaku bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh lelaki terbabit ditangkap pada 23 September 2020, selepas mengambil kira faktor kepentingan awam, termasuk cara pembunuhan serta menghapuskan mayat.
Dalam penghakimannya, beliau menasihati tertuduh supaya insaf dan bertaubat serta tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan kerana perbuatan itu turut membebankan keluarga sendiri.
"Di penjara nanti, saya berharap awak renungkan... perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jika tidak, sekarang kamu bersama ibu kamu yang sedang sakit kanser dan menjaganya. Isteri kamu pun kemalangan dan patah kaki. Kamu sepatutnya bersama isteri... membantunya," katanya.






