PUTRAJAYA: Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Putra di sini, hari ini.
Beliau yang berbaju Melayu biru sebelum itu mengikuti khutbah bertajuk 'Al-Quran Menyatukan Hati, Kasih Merentas Generasi' yang disampaikan Ustaz Hazman Hashim.
Antara yang menarik perhatian dalam khutbah itu ialah doa khusus buat Perdana Menteri dan barisan kepemimpinan negara menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, petang ini.
Khatib berkata, pengurusan perbendaharaan negara adalah amanah berat yang perlu dilaksanakan berlandaskan kepentingan rakyat.
"Ya Allah, kurniakanlah petunjuk dan kebijaksanaan kepada Perdana Menteri dalam membentangkan Belanjawan Negara. Jadikanlah ia menepati Maqasid Syariah, dan jadikanlah tanah air kami 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur' (negara yang baik, makmur dan mendapat keampunan Tuhan)," katanya.









