PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, di sini bersama ribuan jemaah sebelum membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, petang ini.
Beliau tiba pada 1.04 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair, lengkap bersongkok, sebelum disambut mesra oleh pengurusan masjid serta jemaah yang hadir lebih awal.
Khutbah dibaca oleh Ustaz Hazman Hashim bertajuk ‘Al-Quran Menyatukan Hati, Kasih Merentas Generasi’.
Selesai solat, Perdana Menteri mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum beredar ke Kementerian Kewangan untuk membawa dokumen Belanjawan 2027 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.








