KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melepaskan kuasa eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen adalah satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan kebebasan institusi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah itu membolehkan Parlimen menguruskan hal ehwalnya secara bebas selepas lebih tiga dekad berada bawah cabang eksekutif.

"Berapa banyak Ketua Majlis Parlimen daripada kedua-dua pihak, sini dan sana? Berapa banyak Perdana Menteri? Inilah Perdana Menteri (Anwar) yang melepaskan kuasa mengawal Parlimen, (ibarat) bercerai talak tiga.

"Jadi, saya rasa semua kita patut berterima kasih kepada kerajaan hari ini, iaitu frontbench, kerana bersetuju melepaskan (kuasa) atas pembebasan yang telah kita setuju tahun lalu," katanya selepas Sesi Penerangan berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Majlis Perkhidmatan Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.