Kulai: Pengawal keselamatan maut, manakala seorang pekerja kilang cedera selepas motosikal masing-masing tidak sempat mengelak lalu melanggar pokok tumbang di Kilometer 32 Lebuhraya Link Kedua di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima makluman berkenaan insiden itu pada jam 9.15 malam.
"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal iaitu Honda Future ditunggang seorang lelaki berusia 53 tahun dan Honda Beat ditunggang seorang wanita berusia 25 tahun yang mana kedua-duanya adalah warga tempatan.
"Kedua-dua mangsa ketika itu sedang bergerak dari arah Senai menuju ke Plaza Tol Senai Utara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.









