TAWAU: Tiga beranak maut, manakala seorang remaja perempuan parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit di Batu 14, Jalan Apas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 50 tahun bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 30 dan 28 tahun disahkan meninggal dunia, manakala anak perempuan berusia 15 tahun parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa yang menaiki Perodua Alza dalam perjalanan dari Kampung Bahagia, Sandakan menuju ke pusat bandar Tawau.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum terbabas ke bahu jalan.









