JELI: Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok tumbang semasa menunggang motosikal di Jalan Air Lanas-Gemang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, Mohd. Alia Sabri Mat Repin, 40, yang menunggang motosikal Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan dihadapinya.

Ketua Balai dan Penyelamat Bomba Jeli, Penguasa Bomba Mohd. Adni Ibrahim berkata, anggotanya yang ke lokasi kejadian mendapati mangsa terperangkap di bawah pokok yang menghempap motosikalnya.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sejurus selepas dikeluarkan,” katanya hari ini.