KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 72 pekerja terbunuh dalam serangan udara di sebuah lombong emas di sempadan Sudan-Mesir, kata kumpulan hak asasi manusia Sudan semalam.
Organisasi dikenali sebagai Peguam Kecemasan berkata, tentera udara Mesir melancarkan serangan itu. AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut, manakala Mesir belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Serangan kelmarin merupakan yang kedua pada tahun ini di gunung Jabal al-Uqaydat selepas serangan udara dilaporkan oleh Mesir mengorbankan 23 pekerja di tapak lombong emas tidak rasmi itu, Jun lalu.
Tentera Mesir tidak mengaku melakukan serangan kelmarin tetapi berkata, pihaknya melancarkan ‘operasi berskala besar’ menyasarkan perlombongan emas haram di sempadannya pada hari kejadian.









