LIVERPOOL: Kemenangan 3-0 Manchester City ke atas Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam, dibayangi insiden kekecohan penonton yang membawa kepada penahanan 10 individu serta menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan serius pada muka, menurut Polis Merseyside.
Anggota polis itu cedera ketika menahan seorang lelaki di Anfield Road selepas perlawanan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dia kemudian dibenarkan pulang dan meneruskan pemulihan di rumah, menurut pihak polis.
Antara yang ditahan ialah seorang lelaki yang disyaki melakukan dua kesalahan menyerang anggota polis, lima individu kerana disyaki melaungkan sorakan berkaitan tragedi, seorang individu kerana disyaki mabuk, berkelakuan tidak senonoh dan melakukan serangan, dua individu kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan serta seorang lagi kerana disyaki membaling objek ke dalam padang.








