KUALA LUMPUR: iCents Group Holdings Bhd memperoleh projek kemudahan pemprosesan wafer semikonduktor dua peringkat di Selangor dengan potensi nilai kontrak keseluruhan RM36.15 juta, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, iCents memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd, menerima surat anugerah (LoA) bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek berkenaan.

Surat itu diterima daripada anak syarikat di Malaysia milik sebuah firma berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menurut iCents, peringkat pertama projek bernilai RM21.05 juta, tidak termasuk SST, sudah dianugerahkan secara rasmi dan dijangka siap dalam tempoh 18 minggu.