KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang melaksanakan projek rintis pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di sebuah kilang besi dan keluli di Pantai Timur yang dijangka dimuktamadkan pada akhir 2027.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini, MITI memaklumkan projek itu dijangka menyediakan gambaran jelas mengenai kos dan data pelaporan.
Maklumat berkenaan boleh dijadikan panduan untuk menilai kesesuaian kaedah CCUS bagi industri besi dan keluli serta rantaian bekalannya, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Sektor besi dan keluli diberi tumpuan kerana terdedah kepada keperluan pelaporan karbon antarabangsa seperti Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah (EU-CBAM) serta merupakan penyumbang utama pelepasan karbon dalam sektor Proses Perindustrian dan Penggunaan Produk (IPPU).






