KUALA LUMPUR: Sektor besi dan keluli antara yang paling kerap berdepan tekanan akibat lambakan import barangan perantaraan apabila lapan daripada sembilan langkah anti-lambakan yang sedang berkuat kuasa di Malaysia membabitkan produk sektor berkenaan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, langkah itu membabitkan produk seperti dawai keluli serta kepingan keluli atau besi bergalvani, manakala satu lagi berkaitan produk plastik dan resin.

"Produk-produk ini pada umumnya merupakan input perantara dalam rantaian pengeluaran dan bukannya produk akhir atau barangan pengguna murah yang dijual terus kepada pengguna.

"Untuk melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil, kerajaan secara berterusan memantau trend lambakan dan harga import," kata kementerian itu.