KUALA LUMPUR: Empat lelaki dan seorang wanita warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik kasut, Sabtu lalu.

Kumpulan itu dipercayai membawa dadah berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang sebelum kegiatan mereka terbongkar ketika pemeriksaan kastam sejurus tiba di Jepun.

Menurut laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang daripada suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal.

Pemeriksaan awal menemukan kokain di bawah pelapik kasut dua suspek sebelum pegawai kastam mengesan tiga lagi individu yang dipercayai datang bersama mereka.