PETALING JAYA: Perusahaan yang diterajui wanita berjaya meraih potensi jualan eksport sebanyak RM229 juta menerusi sesi padanan perniagaan dan pameran selama empat hari di Pavilion Women in Export (WiEX) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sebanyak 215 sesi pertemuan perniagaan menghubungkan usahawan wanita tempatan dengan pembeli dan pengedar dari Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan, China, Hong Kong, Thailand, Indonesia serta Myanmar.

Syarikat milik wanita dari Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang mendahului nilai jualan dengan jumlah gabungan RM129.84 juta bagi produk konfeksi, snek, kopi, teh, koko serta pakaian sukan.