PUTRAJAYA – Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Putrajaya susulan tindakan sebuah akaun media sosial mengubah imej jurugambar dan wartawan menjadi lembu ketika menjalankan tugas membuat liputan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusara Negara semalam.
KMP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius janaan imej itu dan mengecam tindakan pemilik akaun media sosial berkenaan.
“Lebih mengecewakan, imej tersebut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.
“KMP ingin menegaskan petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr. Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan,” katanya hari ini.








