SEPANG: Dua anggota polis yang didakwa dicederakan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan kecederaan dalam tempoh tujuh hari.

Peguam yang mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Jaffar berkata, tindakan itu akan diambil susulan kecederaan fizikal dan kesan mental dialami mangsa dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu laporan perubatan daripada Pusat Kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya sebelum membuat penilaian bagi menentukan jumlah pampasan yang akan dituntut.

“Kami berjanji dalam masa tujuh hari ini akan failkan tindakan tersebut di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas prosiding mahkamah di sini, hari ini.