KUALA LUMPUR: Perjalanan beregu lelaki profesional negara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi di Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2026 terhenti di suku akhir selepas tunduk kepada pasangan pilihan kelima dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, di Stadium Jinnam, Yeosu, Korea Selatan, sebentar tadi.
Gandingan negara itu tewas 17-21, 18-21 kepada bekas juara dunia berkenaan namun tetap memberikan tentangan sengit terutama pada set kedua ketika cuba mengheret perlawanan ke set penentuan.
Wei Jie-Ee Yi cuba memperbaiki corak permainan dan memberikan tekanan kepada lawan bagi menghidupkan peluang melanjutkan saingan, namun pengalaman luas Hoki-Kobayashi di pentas antarabangsa menjadi pemisah apabila pasangan Jepun itu berjaya mengekalkan kelebihan untuk menamatkan perlawanan dalam dua set.









