KUALA LUMPUR: Konsortium yang terdiri daripada MISC Bhd serta pemegang saham utama Yinson Holdings Bhd (YHB) iaitu Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencadangkan untuk mengambil alih YHB dan menjadikannya syarikat persendirian menerusi urus niaga bernilai RM4.03 bilion.

Cadangan itu melibatkan pengambilalihan baki saham biasa dalam syarikat infrastruktur tenaga global berkenaan pada harga RM2.50 sesaham menerusi skim pengaturan ahli di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MISC memaklumkan pihak pembida bersama itu telah mengemukakan surat cadangan kepada lembaga pengarah YHB untuk pertimbangan mereka.

Menurut surat itu, pembida bersama dan pembida utama bersama termasuk Pengerusi Eksekutif Kumpulan YHB, Lim Han Weng tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian syarikat berkenaan.