Kuala Lumpur: Firma guaman yang mewakili Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu sedangkan kediamannya di Taman Duta sudah diwartakan sebagai penjara.

Dalam kenyataan Shafee & Co, berkata tindakan AGC itu sebagai tidak logik kerana pemindahan Najib ke kediamannya tidak bermakna beliau dibebaskan daripada tahanan yang sah di sisi undang-undang.

"Tidak logik bagi AGC mengesyorkan anak guam kami perlu kekal di Penjara Kajang untuk AGC mendapatkan penjelasan, pada hari sama Warta mengisytiharkan kediamannya (Najib) sebagai penjara.

"Walau apa pun kebimbangan AGC mengenai kesan Perintah Pengampunan, kebimbangan itu bukan alasan untuk menahan anak guam kami di satu penjara dan bukan di penjara yang satu lagi," katanya, hari ini.