MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya menerima tawaran daripada gabungan itu, meskipun tiada persefahaman rasmi dicapai bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan di peringkat awal antara pemimpin parti pernah diadakan bagi mengelakkan pertembungan kerusi dan mencari persefahaman.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kerjasama rasmi dimeterai antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN kali ini.

“Rasminya (kerjasama) tidak ada. Kalau ada pun perbincangan peringkat awal itu biasa untuk mengelakkan pertembungan atau mencari persefahaman. Tetapi saya tidak pernah terlibat dalam rundingan-rundingan ini,” katanya.