Genting Highlands : Sektor pelancongan dan perniagaan di Pahang bakal menerima suntikan baharu menerusi kerjasama strategik antara King's Park Development Sdn Bhd dan Rita Synergy Holding bagi menerajui pembangunan projek bersepadu King's Park Genting Highlands.

Kerjasama yang mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Pahang itu menyaksikan penekanan khusus diberikan kepada pembangunan komponen Silk Road Market dan Hab Halal bagi memikat pelancong mesra Muslim dari dalam serta luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati, projek berkenaan bukan sekadar ruang komersial biasa, sebaliknya menjadi medan buat usahawan tempatan mempromosikan jenama dan produk gaya hidup serta makanan dan minuman (F&B) ke pasaran antarabangsa.