Kanowit: Seramai 24 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang 24 pintu yang didiami mereka di Tuai Rumah Seliau, Sungai Tuah, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kebakaran membabitkan rumah panjang berstruktur kekal itu dilaporkan pada jam 1.39 pagi sebelum anggota bomba tiba di lokasi pada jam 2.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi pemadaman dikendalikan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dengan bantuan anggota BBP Sibu Jaya.

"Operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula serta dua aliran hos sepanjang 400 kaki (lebih 120 meter) dilengkapi empat unit nozel," katanya dalam kenyataan hari ini.