MELAKA: Tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sekian lama menjadi kubu kuat DAP di Parlimen Kota Melaka perlu diberikan nafas baharu menerusi perubahan kepemimpinan dan pendekatan pembangunan lebih dinamik.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kawasan berkenaan tidak seharusnya terus berada dalam keadaan sama selepas terlalu lama dikuasai parti lawan.

Beliau berkata, Kota Melaka mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama menerusi pembangunan pelbagai tarikan baharu termasuk hotel, pusat beli-belah dan lokasi persembahan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan negeri.