Melaka: Lima kali bapanya tewas dalam pilihan raya tidak mematahkan semangat calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah untuk meneruskan perjuangan dengan lebih gigih.

Mohammad Mukhlisul Mubin atau lebih dikenali Muklis Mubin, 25, dari AMANAH berkata, beliau menyedari cabaran besar untuk menembusi kerusi DUN Kuala Linggi yang sekian lama menjadi kubu kuat UMNO itu, namun percaya perjuangan politik memerlukan kesabaran dan usaha berterusan.

Bapanya, Julasapiyah Kassim mula bertanding di DUN berkenaan pada 1999 dan meskipun belum memperoleh kemenangan, khidmat serta sumbangannya kepada masyarakat setempat masih diingati.

Bagaimanapun, graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan beliau tidak menganggap jasa bapanya sebagai tiket untuk meraih sokongan, sebaliknya kepercayaan pengundi perlu diusahakan dan dibuktikan menerusi usahanya sendiri.